Chong Wei membuktikan usia yang mencecah 36 tahun pada 21 Oktober ini bukan penghalang untuk dia mengecapi kejayaan apabila menundukkan Kento Momota yang berusia 12 tahun lebih muda daripadanya 21-17, 23-21 dalam aksi lebih sejam.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu mengakui, bukan senang untuk menang terutama berhadapan Momota yang jauh lebih muda dan memegang rekod 22 perlawanan tanpa kalah sejak beberapa bulan lalu.

“Saya harap kejayaan ini akan menjadi pemangkin buat diri saya untuk beraksi pada Kejohanan Dunia, Sukan Asia dan Terbuka Indonesia, minggu hadapan.

“Saya juga berharap akan ada pemain selepas ini yang mampu memecah rekod 12 kejuaran saya dan ini adalah cabaran buat mereka,” katanya.

Kemenangan membolehkan jaguh badminton negara itu membawa pulang AS$49,000 (RM198,000).

Sementara itu, Momota berkata, permainan Chong Wei hari ini jauh lebih baik berbanding ketika dia menundukkan jaguh negara itu pada Kejohanan Badminton Asia, di Wuhan, April lalu.

Katanya, dia cuba bersabar dan mengikut rentak permainan pantas Chong Wei tetapi gagal terutama ketika berhadapan bola di jaring.

“Variasi bola di jaring yang dilakukan Chong Wei kali ini adalah sangat baik dan saya tidak boleh mengikut rentak permainannya.
“Walaupun sudah berusia dia tetap hebat dan masih lagi akan menjadi kuasa besar dalam sukan ini,” katanya.