Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik berusia 36 tahun itu masih berada dalam prestasi terbaik selepas mudah melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia hari ini dengan menundukkan juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 21-17, 21-9.

Dia memberitahu, dia mahu menikmati setiap kejohanan yang disertainya dan memberi baya­ngan bahawa Terbuka Malaysia tahun hadapan mungkin yang ter­akhir buat dirinya.

“Karier saya juga sudah sema­kin pendek, saya mahu menikmati setiap perlawanan dan kalau boleh kekalkan semangat seperti ini, mungkin boleh beraksi hingga Olimpik Tokyo tetapi kalau ke­ada­an tidak baik, saya akan berhenti.

“Buat masa sekarang kita kena lihat semangat dalam diri saya dan saya mahu main lagi Terbuka Malaysia dan harap esok saya akan beraksi lebih baik,” katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam separuh akhir, Chong Wei akan berdepan Tommy Sugi­arto dari Indonesia yang menundukkan pilihan ketiga dari China, Shi Yuqi 13-21, 21-13, 21-13.

Mengulas mengenai aksi hari ini, jaguh negara itu memberitahu, perlawanan pada set kedua lebih mudah kerana Axelsen sudah tidak mampu memberikan cabaran dan menyifatkan pemain No.1 dunia itu sudah menyerah kalah selepas ketinggalan 6-11.

Sementara itu, Axelsen enggan menjadikan masalah kesihatan dialaminya sebagai punca kekalahannya sebaliknya mengakui dia tewas kepada pemain lebih berkualiti.

“Memang saya sukar untuk bernafas semasa di dalam gelanggang kerana tidak sihat tetapi saya tidak mahu menjadikannya sebagai alasan dan Chong Wei jelas lebih baik daripada saya,” katanya.

Dalam pada itu, beregu lelaki utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal ke separuh akhir selepas tewas kepada Keigo Sonoda-Takeshi Kamura 9-21, 17-21.

Sementara itu, harapan Goh Jin Wei untuk mencipta kejutan gagal disempurnakan apabila dia tewas kepada pemain No.1 dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying 21-15, 21-15, namun boleh berpuas hati kerana berjaya mara ke suku akhir buat kali pertama.