Pemain No.2 dunia itu mengambil masa 39 minit untuk menewaskan Angus 21-14, 21-13 bagi mencerahkan laluannya bagi memburu kejuaraan kelima di kejohanan yang menawarkan hadiah AS$1 juta (RM4.07 juta).

Kejayaan itu bermakna Chong Wei melunaskan dendamnya terhadap pemain muda Hong Kong itu untuk me­raih kemenangan keenam daripada tujuh pertemuan selepas kali terakhir tewas kepada Angus dalam Siri Super Premier Terbuka China November lalu.

Selepas ini Chong Wei perlu menundukkan Son Wan-ho dalam perlawanan terakhir pe­ringkat kumpulan selepas jaguh China, Chen Long menarik diri semalam, dipercayai akibat kecedera­an selepas menjalani sesi latihan.

Jurulatih kebangsaan Datuk Tey Seu Bock berkata, secara ke­seluruhannya Chong Wei beraksi cemerlang selain tahap keyakinannya jauh lebih baik berban­ding sebelum ini.

“Chong Wei di tahap yang sa­ngat baik. Sentuhannya, kepantasan di dalam gelanggang semua baik dan saya harap perkara ini akan konsisten sepanjang kejohanan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal meraih kemenangan pertama mereka dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B selepas pasangan utama negara itu tewas 12-21, 11-21 kepada Wang Yilyu-Huang Dongping dari China.

Pei Jing ketika dihubungi mengakui bahawa permainan mereka tidak cukup bagus menyebabkan berlakunya jurang yang sangat besar dengan lawan mereka semasa di dalam gelanggang.

Katanya, selepas tersingkir awal dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini, mereka masih lagi tercari-cari rentak permainan sebenar selain keyakinan untuk beraksi.