Ketika temasya hanya tinggal dua hari untuk ditamatkan, badminton dilihat sebagai sukan terbaik yang mampu membantu Malaysia memenuhi sasaran membawa pulang tujuh emas, dan hari ini empat wakilnya berjaya meneruskan kemaraan ke separuh akhir.

Begitupun Chong Wei yang gagal membantu Malaysia mempertahankan kejuaraan berpasukan campuran bakal berdepan laluan getir apabila bertemu pemain yang menewaskannya dalam dua aksi terakhir, H.S Prannoy dari India.

Chong Wei, 36, mudah ke separuh akhir selepas menumpaskan bekas pemain Malaysia dan senegeri yang kini beraksi buat Singapura, Loh Kean Yew 21-13, 21-16.

“Ini adalah Sukan Komanwel terakhir saya, jadi saya akan turun habis-habisan esok untuk mencari keputusan terbaik. Saya tidak kisah apa keputusannya, yang penting saya dapat memberi segala-galanya yang ada.

“Bertemu Prannoy tidak mudah. Saya kalah dua kali kepadanya dalam pertemuan terdahulu dan seperti K. Srikanth, dia juga pemain yang semakin meningkat, sedangkan saya kena terima hakikat saya sudah berusia 35 tahun. Harap saya dapat beri yang terbaik,” kata Chong Wei.

Chong Wei yang tewas kepada Prannoy dalam Terbuka Denmark (Oktober, 2017) dan Terbuka Indonesia, Jun tahun lalu merupakan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2010 dan 2006.

Sementara itu, misi badminton untuk mencari sekurang-kurangnya tiga emas di Gold Coast diteruskan oleh dua lagi pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran), selain beregu wanita, Vivian Hoo-Chow Mew Kuan.

V Shem-Wee Kiong mara selepas mengetepikan pasangan Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall 21-9, 21-17 untuk menempah pertemuan dengan Marcus Ellis-Chris Langridge dari England.

Peng Soon-Liu Ying pula bakal berdepan pasangan suami isteri dari England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock selepas menumpaskan beregu India, C. Pranaav-Reddy N. Sikki 21-17, 21-12.

Dalam beregu wanita, Vivian-Mew Kuan meneruskan rentak kemenangan di Gold Coast dengan mengalahkan Chloe Birch-Jessica Pugh dari England 21-11, 21-6. Menanti mereka beregu India, Reddy N. Sikki-P. Ashwini.

KALI
Chong Wei merupakan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2010 dan 2006