Ini adalah kemenangan ke-16 Chong Wei ke atas pemain Denmark itu daripada 17 pertemuan mereka sejak 2009.

Kejayaannya dalam kejohanan bertaraf Siri Super Premier bernilai AS$900,000 (RM3.72 ) itu turut melonjakkan kedudukan Chong Wei ke tangga teratas dunia, merampas kedudukan itu daripada jaguh badminton China, Chen Long yang menarik diri daripada kejohanan ini.

Pemain berusia 34 tahun itu mengambil masa satu jam, tujuh minit untuk menewaskan pilihan kelima itu bagi mengakhiri penantian para peminat badminton negara yang mahu melihatnya merampas kedudukan No. 1 dunia.

“Masuk final, saya makin hampir jadi No. 1, muncul juara... sah saya No. 1,” kata Chong Wei selepas perlawanan.

Kejayaan itu menambah koleksi juara Terbuka Indonesia yang dimenangi Chong Wei sebanyak lima kali sebelum ini iaitu pada 2007, 2009, 2010, 2011 dan 2013.

Dia juga menyatakan kemungkinan untuk menyertai kejuaraan tersebut sekali lagi pada tahun hadapan sekiranya tidak menghadapi kecederaan.

“Saya rasa macam bermain di laman sendiri sebab ramai penyokong di sini menyokong saya. Ini kemenangan keenam saya di Terbuka Indonesia.

“Saya berterima kasih kepada peminat yang datang dan memberikan sokongan kepada saya. Saya berharap untuk datang lagi tahun hadapan tetapi bergantung kepada keadaan fizikal saya selepas Sukan Olimpik (Ogos) nanti,” katanya ketika ditemubual oleh pengacara kejohanan selepas kemenangannya.

Laluan Chong Wei dalam kejohanan kali ini agak mudah kerana tidak perlu berdepan dengan pemain utama dunia apabila Chen Long menarik diri ekoran kecederaan, manakala pilihan ketiga Lin Dan tewas di pusingan kedua kepada pemain Indonesia, Jonatan Christie. 
 UTUSAN