Pilihan utama kejohanan itu hanya memerlukan 45 minit untuk menewaskan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin 21-11, 21-14 dalam separuh akhir malam ini.

Juara tahun lalu itu dijangka tidak akan menghadapi tugas sukar untuk meneruskan kemaraan apabila akan bertemu pemain Hong Kong, Vincent Wong dalam separuh akhir hari ini.

Vincent mara setelah diberikan kemenangan percuma kerana pilihan ketiga Chen Long dari China menarik diri daripada perlawanan suku akhir.

Ketiadaan Chen Long memberi peluang lebih cerah kepada Chong Wei melangkah ke perlawanan akhir kejohanan berkenaan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$600,000 (RM2.64 juta).

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, Chong Wei berkata dia berasa lega dapat menewaskan lawannya itu.

“Ini pertemuan pertama kami. Dia baru berusia 21 tahun dan cara permainannya agresif...agak sukar berdepan dengan beliau (Jeon Hyeok Jin). Namun saya tidak memberi peluang langsung kepadanya,” katanya.

Ditanya mengenai aksi separuh akhir esok, pemain utama negara itu berkata dia akan bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan.

“Saya mahu meraih kemenangan ke-12 pada Terbuka Malaysia dan berharap tiada pemain dapat memecahkan rekod saya (kejuaraan ke-11 setakat ini),” katanya.