Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu dilihat tidak berdepan masalah untuk melangkah ke aksi final selepas menyingkirkan Tommy Sugiarto 21-18, 21-15, manakala Momota terlebih dahulu mengesahkan tempat selepas menundukkan pemain No.1 India, K. Srikanth 21-13, 21-13.

Pertemuan esok merupakan yang ketiga buat mereka dengan Chong Wei tewas dalam perlawanan terakhir kepada Momota semasa Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, April lalu.

Chong Wei mengakui pertemuan menentang Momota bukan sesuatu yang mudah kerana lawannya jauh lebih muda daripadanya.

Dia berharap impiannya untuk merangkul kejuaraan ke-12 di Terbuka Malaysia akan tercapai dan berharap lebih ramai penyokong akan hadir memenuhi stadium.

“Pertemuan terakhir, saya kalah kepada Kento dan esok saya berharap mimpi jadi kenyataan untuk saya meraih kejuaraan ke-12.

“Tahun lepas saya pernah kata, selepas dia kembali daripada penggantungan, dia mampu menjadi antara pemain utama dunia.

“Saya percaya dia bersama (Viktor) Axelsen mampu menguasai dunia badminton selepas saya dan Lin Dan bersara,” katanya.