Walaupun Chong Wei gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Jepun selepas tumpas kepada pemain muda Denmark, Viktor Axelsen, Ahad lalu iaitu sebulan selepas disingkirkan daripada pusingan pembukaan Kejohanan Dunia, namun pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu masih berjaya mengekalkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Mohamad Norza turut menegaskan, bekas pemain No. 1 dunia itu masih mampu menunjukkan permainan menakjubkan ketika kalah 14-21, 21-19, 14-21 kepada Axelsen, biarpun masih bergelut dengan prestasi, selain sudah mencecah usia 35 tahun.

“Dia masih kecewa dengan kekalahannya pada pusingan pertama Kejohanan Dunia tetapi dia berjaya mengatasi perkara itu dengan berada di pentas final (Terbuka Jepun).

“Perkara seperti ini (semangat juang Chong Wei) seharusnya dijadikan contoh oleh pemain-pemain muda negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Mohamad Norza lagi, kebanyakan pemain muda negara bukan sahaja tidak mampu menempatkan diri dalam kejohanan bertaraf elit seperti Siri Super dan Siri Super Premier, malah gagal meraih sebarang kejayaan membanggakan dalam kejohanan-kejohanan kecil di peringkat antarabangsa.

Mereka juga, katanya tidak mempunyai semangat juang tinggi seperti yang dimiliki Chong Wei yang sentiasa berjuang bermati-matian sehingga ke mata terakhir.

“Bagi saya pemain-pemain muda kita ini memalukan Malaysia dan mereka seharusnya malu dengan diri sen­diri.

“Kita lihat aksi di Terbuka Jepun, pemain-pemain seperti Axelsen, Shi Yuqi (China) sudah berjaya meningkatkan kualiti permainan mereka pada usia muda selain konsisten dalam setiap kejohanan yang di­sertai,” katanya.

Axelsen, 23, merangkul kejuaraan Terbuka Jepun buat kali pertama sebulan selepas melakar kejutan muncul juara dunia di Glasgow, manakala Yuqi, 21, tewas kepada Chong Wei dalam separuh akhir di Tokyo.