LEE CHONG WEI
LEE CHONG WEI

Malah, lebih manis lagi cabaran Malaysia dalam kejohanan Siri Super Premier bernilai AS$900,000 (RM3.72 juta) itu turut diteruskan oleh beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang mempamer aksi cemerlang menyingkirkan pasangan tuan rumah, Aggia Shitta Awanda-Mahadewi Istirani Ni Ketut 21-14, 21-19.

Chong Wei, 34, yang memburu gelaran Terbuka Indonesia buat kali keenam selepas muncul juara 2013, 2011, 2010, 2009 dan 2007 kini akan menentang pemain tuan rumah, Ihsan Maulana Mustofa yang mara selepas menyingkirkan Rajiv Ouseph dari England 17-21, 21-12, 21-12.

“Saya mahu mengekalkan aksi konsisten dan akan cuba bersaing untuk mendapatkan semula kedudukan No. 1 dunia sebelum Sukan Olimpik.

“Kalau saya tidak berjaya, saya akan cuba sekurang-kurangnya kekal sebagai pemain No. 2 dunia.

“Saya memerlukan ranking yang baik untuk mendapat undian yang bagus dalam Sukan Olimpik,” kata Chong Wei, pemenang dua pingat perak Sukan O­limpik.

Dalam aksi di Stadium Istora Senayan, Chong Wei mendapat kemenangan ‘awal’ selepas lawannya, perseorangan China, Wang Zhengming cedera di paha pada set kedua yang menyebabkan dia tidak dapat meneruskan perlawanan.

Ketika itu, Chong wei mendahului 9-6, sebelum akhirnya menang 21-16.

“Saya simpati dia cedera, tidak boleh main lagi. Saya memang tidak pernah kalah menentang­nya.

“Kemenangan ini memberi lebih kenyakinan kepada saya. Saya akan cuba yang terbaik selepas ini. Seperti biasa saya akan lebih fokus lagi,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi Vivian-Khe Wei, selepas mara ke separuh akhir Siri Super Premier buat kali pertama, tugas berat menanti esok apabila bakal berdepan pasangan No. 3 dunia, Tang Yuan­ting-Yu Yang dari China.

Pasangan No. 20 dunia itu tewas dua kali kepada beregu China tersebut, tahun ini.

“Kami bermain baik di set pertama, tetapi di set kedua ketika mendahului, kami seperti mahu cepat habiskan perlawanan.

“Ini menyebabkan lawan ­ambil ke­sempatan mengejar. Nasib baik kami habiskan permainan dengan kemenangan,” ujar Vi­vian.

Mengenai, sorakan penyokong Indonesia, katanya ia tidak memberi kesan kerana mereka hanya memberi tum­puan kepada permainan.

Kemaraan Chong Wei dan beregu wanita gagal diteruskan oleh pasangan utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dalam saingan beregu lelaki.

Beregu No. 14 dunia itu, yang turut menggalas cabaran Malaysia dalam Olimpik Rio dari 5-21 Ogos ini terpaksa akur dengan kekalahan 18-21, 17-21 kepada pi­lihan kelima, Chai Biao-Hong Wei dari China.