Sebelum ini wujud pelbagai spekulasi mengenai pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu selepas dia didapati tidak menghadiri sesi latihan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa bekas pemain No.1 itu sedang mengalami masalah kesihatan berkaitan pernafasan dan perkara itu memaksanya untuk berehat sekurang-kurangnya sebulan sebelum kembali pulih.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Chong Wei sudah memaklumkan BAM bahawa dia tidak sihat kerana mengalami masalah berkaitan pernafasan dan doktor menasihatkannya untuk berehat selain menjalani rawatan seperti yang ditetapkan.

“Buat masa sekarang, jaguh negara itu tidak dapat menjalani sebarang latihan intensif berkaitan fizikal untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan.

“Atas sebab itu, Chong Wei terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia yang akan berlangsung 30 Julai hingga 5 Ogos ini dan Sukan Asia 2018 pada 19-28 Ogos ini,” kata kenyataan itu.

Difahamkan, Chong Wei mengalami masalah kesihatan selepas pulang daripada Kejohanan Siri Jelajah Dunia 1,000 Terbuka Indonesia yang menyaksikan dia tewas dalam separuh akhir kepada Kento Momota.

Walau bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan reaksi Chong Wei gagal.

Chong Wei merupakan antara sandaran negara untuk memburu pingat emas Sukan Asia dan ketiadaannya dilihat bakal memberi impak kepada usaha itu.

Pada masa sama, BAM perlu segera mencari pemain baharu untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan jaguh negara itu bagi melengkapkan pasukan untuk beraksi di Jakarta.