Jurulatih perseorangan kebangsaan, Hendrawan berkata, dia dan Chong Wei gigih melakukan perubahan dalam sesi latihan untuk memastikan pemain No. 1 dunia itu bersedia menampilkan ‘senjata’ baharunya apabila kejohanan bermula.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu tewas dua kali berturut-turut kepada seteru tradisi dari China, Lin Dan dalam dua kejohanan iaitu Terbuka Malaysia dan Kejohanan Asia dalam tempoh kurang sebulan.

Berdasarkan kepada kedua-dua pertemuan itu, Lin Dan menampilkan aksi luar biasa dengan corak permainan baharu yang memberi kesukaran kepada Chong Wei.

“Aksi Lin Dan, terutama di Wuhan (Kejohanan Asia) nyata berbeza berbanding sebelum ini dan atas sebab itu, saya dan Tey Seu Bock (jurulatih perseorangan) akan mencari pendekatan baharu bagi memantapkan permainan Chong Wei,” kata Hendrawan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini baru-baru ini.

Kata Hendrawan lagi, biarpun beberapa kali gagal merangkul gelaran utama seperti Kejohanan Dunia dan Olimpik, namun dia akan memastikan semangat Chong Wei kekal membara.

“Saya selalu katakan, semangat dalam diri Chong Wei harus menjadi perkara utama dan sekarang kita perlu pastikan semangat itu kekal sehingga Kejohanan Dunia,” katanya.

Mengenai tiket wildcard (jemputan) yang diberikan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kepada Chen Long, Hendrawan berkata, ia tidak meresahkan Chong Wei.

“Selepas Chen Long diberi wildcard, China kini memiliki empat wakil tetapi kami kekal positif. Tidak kira berapa wakil mereka kami tetap melakukan persiapan terbaik kerana ini adalah sasaran utama Chong Wei tahun ini,” katanya.

Chen Long yang gagal layak ke Kejohanan Dunia kali ini diberi wildcard atas kapasiti selaku juara bertahan, juara Olimpik dan juara Asia.