Turun sebagai pilihan kelima, pemain berusia 35 tahun itu menang 21-11, 15-21, 21-19 dalam pertarungan sejam, tiga minit.

Chong Wei yang bergelut dalam tiga perlawanannya setakat ini bakal berdepan pemain sedang meningkat dari China yang juga pilihan kedua, Shi Yuqi.

Yuqi, 21, mudah me­numpaskan HS Prannoy dari India 21-15, 21-14, namun tewas dalam semua tiga pertemuan terakhir menentang Chong Wei iaitu dalam All England, Mac lalu, Terbuka Jepun 2016 serta Terbuka Kanada 2015.

“Ia sesuatu yang bagus jika Chong Wei dapat menang di sini kerana dia memerlukan kemenangan bagi mengembalikan keyakinan.

“Permainannya masih jauh dari tahap terbaik tetapi sekurang-kurangnya keya­kinan yang ditunjukkan hari ini lebih bagus daripada sebe­lumnya.

“Siapa lawan Chong Wei tidak penting, yang penting, dia fokus kepada permainan,” kata jurulatih negara, Tey Seu Bock ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kemenangan bukan sahaja me­ningkatkan keyakinan Chong Wei yang kembali ke gelanggang sebulan selepas ter­singkir pada pusi­ngan pertama Kejohanan Dunia, malah meletakkannya di landasan untuk mempertahankan gelaran.

Bekas pemain No. 1 dunia itu juga adalah juara enam kali pada 2016, 2014, 2013, 2012, 2010 dan 2007.

Beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin pula gagal ke separuh akhir selepas tewas 15-21, 18-21 kepada pasa­ngan tuan rumah, Takuto Inoue-Yuki Kaneko.

Juara dunia lima kali, Lin Dan dari China pula kalah kepada pemain No. 1 dunia, Son Wan Ho dari Korea Selatan 15-21, 15-21.