Sebulan selepas dikejutkan Brice Leverdez dalam aksi pembukaan Kejohanan Dunia di Glasgow, Chong Wei berdepan situasi hampir sama apabila kembali ke gelanggang sebelum akhirnya menang 21-15, 16-21, 21-17 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama sejam.

“Dia memang belum menemui keyakinan, saya boleh nampak perkara itu dalam permainannya hari ini. Jelas sekali, dia masih tercari-cari sentuhan dan yang pasti keyakinannya merosot (selepas kekalahan dalam Kejohanan Dunia).

“Apa pun, sekurang-kurangnya hari ini berakhir dengan baik apabila dia berjaya memenangi perlawanan. Walaupun ketinggalan, dia masih boleh menang.

“Kemenangan amat penting buat dirinya, sekurang-kurangnya untuk membantu dia mengatasi masalah keyakinan diri yang dihadapi. Harap dia dapat bermain lebih baik selepas ini,” kata Seu Bock ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kemenangan itu membolehkan Chong Wei terus berada di landasan untuk mempertahankan kejuaraan dan memburu gelaran ketujuhnya di Jepun, sekali gus menempah pertemuan pusingan kedua dengan Tommy Sugiarto dari Indonesia esok.

Turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua ialah beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang mengetepikan pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Pakin Kuna Anuvit 21-17, 18-21, 21-15.

Pemenang pingat perak Sukan SEA, Sonia Cheah juga cemerlang mara ke pusingan kedua perseorangan wanita hasil kemenangan ke atas Lee Chia Hsin dari Taiwan 21-13, 21-18. - UTUSAN ONLINE