Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, sebaliknya memaklumkan pemain ranking kelima dunia itu akan terus berada di Taiwan untuk proses pemantauan doktor yang merawatnya sebelum dibenarkan kembali ke tanah air.

“Saya tengok ada satu laporan media kata dia balik Ahad ini.

“Untuk pengetahuan semua, perkara itu tak benar kerana saya sendiri telah berhubung dengan Datuk Lee Chong Wei pada Rabu lepas dan beliau mengatakan beliau belum lagi merancang untuk pulang ke Malaysia,” katanya.

Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Liga Sepak Takraw 2018 di Kompleks Gem in Mall, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata, keadaan Chong Wei bertambah baik, namun memerlukan banyak berehat disebabkan kesan daripada rawatan kanser hidung yang dijalaninya sebelum ini.

BAM bulan lalu mengesahkan pemain berusia 35 tahun itu menghidap kanser hidung tahap awal yang memaksa pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu terpaksa menggantung raket sejak Julai lalu, selain turut terlepas aksi Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Beberapa media tempatan sebelum ini mendakwa Chong Wei akan kembali ke Malaysia Ahad ini dengan menaiki jet peribadi setelah selesai menjalani rawatan kanser hidung di Taiwan. - BERNAMA