Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini tidak dapat memberi jaminan bekas pemain No. 1 dunia itu akan beraksi dalam kejohanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 2-7 April, biarpun namanya sudah didaftar.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu perlu mendapatkan kebenaran doktor yang merawatnya di Taiwan sebelum membuat sebarang keputusan untuk beraksi dalam kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 750 itu.

Katanya, Chong Wei memang tidak sabar untuk beraksi secara kompetitif dengan menjadikan Terbuka Malaysia sebagai sasaran awal membuat penampilan semula selepas berehat panjang untuk proses pemulihan kanser hidung yang dihadapinya.

“Buat masa sekarang Chong Wei perlu mendapatkan kebenaran doktor yang merawatnya di Taiwan, jadi berikan dia masa kerana kesihatannya lebih penting.

“Kalau diikutkan memang Chong Wei mahu beraksi pada Terbuka Malaysia tetapi kita semua perlu berlaku adil kepadanya, biar dia sembuh dulu kerana banyak proses perlu dilaluinya,” katanya.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, Chong Wei dijadual bertemu pilihan kelapan dari India, K. Srikanth pada pusingan pertama dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai AS$700,000 (RM2.86 juta).