Kekalahan di Wuhan itu bermakna Chong Wei tewas buat kali kedua berturut-turut kepada Lin Dan dalam tempoh kurang sebulan.

Bintang China itu, yang juga juara dunia lima kali, membuktikan kecemerlangannya di laman sendiri dengan me­nundukkan pemain No.1 dunia itu 21-13, 21-15 dalam perlawanan hampir sejam.

Lin Dan, yang juga pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik, sebelum ini mengecewakan Chong Wei dalam Siri Super Premier Terbuka Malaysia yang berlangsung di Kuching bagi meraih kejuaraan itu buat kali pertama dalam kariernya.

Jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock mengakui, aksi yang ditampilkan Lin Dan dalam kejohanan kali ini jauh berbeza berbanding sebelum ini dan menyukarkan Chong Wei untuk melakukan serangan.

Katanya, Chong Wei gagal bermain dengan selesa selepas Lin Dan banyak menguasai permainan di hadapan ge­langgang sekali gus menguasai keseluruhan permainan.

“Memang saya tengok Chong Wei tidak dapat rentak permainan dia, dia memang tidak selesa dengan bola yang dihantar Lin Dan.

“Sejak perlawanan pertama saya lihat Chong Wei gagal mendapatkan rentak permainan, saya ingat hari ini dia boleh mendapatkannya tetapi tidak kesampaian.

“Kebelakangan ini, memang permainan Lin Dan banyak berubah jika diban­dingkan dengan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.