Jeritan Thailand! Thailand! yang bergema di Impact Arena mendorong Busanan Ongbamrungphan memberikan aksi luar biasa ketika menundukkan juara Olimpik 2012, Li Xuerui 21-11, 21-9 dalam perlawanan penentuan.

Terdahulu, juara dunia 2013, Ratchanok Intanon meletakkan Thailand di depan selepas menewaskan pemain No. 5 dunia, Chen Yufei 15-21, 21-9, 21-14.

Beregu No. 1 dunia, Chen Qingchen-Jia Yifan menyamakan kedudukan 1-1 selepas menumpaskan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-17, 22-20.

Nitchaon Jindapol kembali meletakkan Thailand di depan dengan menewaskan Gao Fangjie 19-21, 21-19, 21-12.

Kemenangan sengit Huang Yaqiong-Tang Jinhua 24-26, 21-17, 21-18 ke atas Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai mengheret permainan ke penentuan perseorangan ketiga.

Thailand kini akan berdepan pilihan utama, Jepun dalam penentuan juara esok.

Jepun mara selepas mengalahkan Korea Selatan 3-1 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Saya sangat teruja kerana mengutip mata kemenangan pasukan.

Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong Thailand yang memenuhi stadium,kata Busanan.