Kekalahan itu bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan Malaysia yang sudah mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok Mei ini.

Pemain beregu negara Ong Yew Sin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal membantu negara melangkah ke perlawanan akhir selepas menampilkan aksi kurang cemerlang dalam perlawanan terakhir itu.

Yew Sin yang berpasangan de­ngan Teo Ee Yi turun dalam perlawanan keempat dengan diletakkan harapan untuk meraih mata penyamaan pasukan selepas ke­tinggalan 1-2 namun mereka tewas kepada Han Chengkai-Zhou Haodong 15-21, 13-21.

“Saya mohon maaf kepada rak­yat Malaysia kerana gagal beraksi dengan baik. Kami kalah dari aspek fizikal dan tekanan dalam perlawanan ini, lawan kami ternyata beraksi lebih baik dalam perlawanan ini.

“Selepas ini kami akan menjalani latihan lebih kuat untuk memperbaiki segala kesilapan yang dikesan dalam kejohanan ini dan kembali dengan aksi lebih meyakinkan,” kata Yew Sin selepas perlawanan.

Malaysia ketinggalan 0-1 apabila Lee Zii Jia yang diturunkan selaku perseorangan pertama menggantikan Datuk Lee Chong Wei tewas 18-21, 9-21 kepada Shi Yuqi namun beregu Goh V Shem-Tan Wee Kiong menyamakan kedudukan selepas menundukkan He Ji­ting-Tan Qiang 21-18, 21-12.

Malaysia kembali ketinggalan selepas perseorangan kedua Soong Joo Ven tewas mudah 17-21, 8-21 kepada Qiao Bin untuk memaksa Yew Sin-Ee Yi mencari mata penyamaan 2-2 namun jelas mereka gagal memikul tekanan.

Zii Jia juga tidak menyembunyikan kekecewaannya selepas gagal menyumbang mata pertama bagi menaikkan semangat rakan sepasukannya.

“Saya mengakui agak kepenatan dan keadaan fizikal saya merosot hari ini.

“Saya juga perlu belajar untuk mengawal emosi dan tekanan semasa beraksi di dalam gelanggang,” katanya.

Sementara itu, Indonesia menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam satu lagi perlawanan separuh a­khir untuk bertemu China esok.