Pemain No. 2 dunia, Shi Yuqi, sebagai pilihan kedua kejohanan, mendahului senarai pemain perseorangan lelaki diikuti pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long, selaku pilihan keempat, dengan mudah mara ke pusingan kedua.

Selain Shi Yuqi dan Chen Long, jaguh Olimpik dua kali berusia 36 tahun, Lin Dan dan pemain sedang meningkat naik, Lu Guangzu turut melepasi halangan pertama kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 750 bernilai US$700,000 (RM2.86 juta).

Dalam kategori perseorangan wanita pula, pemain No. 2 dunia, Chen Yufei mengetuai senarai apabila diletakkan sebagai pilihan ketiga, diikuti He Bingjiao, Li Xuerui dan Chen Xiaoxin.

Tiga beregu lelaki turut mara iaitu beregu No. 2 dunia, Li Junhui-Liu Yuchen, Liu Cheng-Zhang Nan dan Han Chengkai-Zhou Haodong, diikuti tiga beregu wanita iaitu beregu No. 4 dunia, Chen Qingchen-Jia Yifan, Du Yue-Li Yunhui, dan Dong Wenjing-Feng Xueying.

Gandingan Zheng Siwei-Huang Yaqiong mengetuai senarai beregu campuran diikuti dua lagi pasangan iaitu Lu Kai-Chen Lu dan Ou Xuanyi-Feng Xueying yang mendapat kemenangan percuma pada perlawanan pusingan pertama, semalam.

Kebangkitan skuad Jepun juga terserlah apabila 12 wakil dari negara Matahari Trbit itu mara ke pusingan kedua diketuai pemain perseorangan No. 1 dunia, Kento Momota.

Selain Momota, dua lagi wakil perseorangan lelaki turut melangkah ke pusingan kedua iaitu Kenta Nishimoto dan Kanta Tsuneyama, manakala, wakil perseorangan wanita pula diketuai pemain No. 3 dunia, Nozomi Okuhara, Akane Yamaguchi dan Sayaka Takahashi.

Gandingan Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, Takura Hoki-Yugo Kobayashi dan Takuto Inoue-Yuki Kaneko mewakili kategori beregu lelaki diikuti Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi dan Mayu Matsutomo-Wakana Nagahara dalam acara beregu wanita.

Indonesia dan Thailand pula mempunyai 11 wakil dalam pusingan kedua diikuti lapan pemain tuan rumah Malaysia, Korea Selatan empat wakil, Denmark, India dan Taiwan masing-masing mempunyai tiga pencabar, Rusia dua orang wakil dan masing-masing satu pemain dari England, Australia, Scotland serta Amerika Syarikat. - BERNAMA