Mat Sport
Mat Sport

Mat tulis kali ini bukanlah semata-mata nak ucapkan tahniah kepada jaguh badminton negara itu, tetapi ‘kisah lain’ di sebalik perlawanan akhir Chong Wei Ahad lepas.

Ya, kita sedia maklum Chong Wei menang mudah ke atas pemain muda berusia 21 tahun, Shi Yuqi dari China 21-12, 21-10 dalam tempoh 45 minit. Tetapi perasan tak kita, negara Tembok Besar itu berjaya melahirkan pelapis baharu. Tak putus-putus, lepas Lin Dan...Chen Long, lepas Chen Long...Shi Yuqi pula.

Tiga tahun lalu Shi Yuqi, yang kini menghuni ranking ke-10 dunia, hanya pemenang pingat perak Kejohanan Remaja Dunia dalam cara perseora­ngan lelaki. Namun kita tengok sekarang di mana dia berada? Walaupun kelihatan kalah mudah, namun pengalaman menentang Chong Wei dalam perlawanan akhir All England pasti pengalaman yang akan mematangkan dirinya.

Shi Yuqi pastinya bakal menjadi pertaruhan China apabila Olimpik 2020 berlangsung di Tokyo nanti ketika Chong Wei berusia 38 tahun.

Ya, kita tahu nama Iskandar Zulkarnain Zainuddin (ranking ke-30 dunia), Zulfadli Zulkiffli (ranking ke-34), Chong Wei Feng (42), Liew Daren (51) dan Goh Soon Huat (82) pernah dicanang akan menjadi pengganti Chong Wei apabila tiba masanya dia bersara.

Akan tetapi harapan itu tinggal harapan. Setakat ini, prestasi pemain pelapis dilihat belum mampu untuk menggalas tanggungjawab itu.

Bukan nak pandang rendah namun itulah keperitan yang perlu ditelan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), serta peminat tempatan.

Kalau kita tengok Chong Wei semakin dimamah usia iaitu umurnya mencecah 35 tahun. Dia tak boleh lagi diperah sepanjang tahun. Dia memerlukan rehat dan akan hanya beraksi dalam kejohanan tertentu sahaja.

Bukan apa, apabila terlalu kerap bermain maka gaya permainannya mesti mudah dibaca pemain lawan terutama seteru dari China. Mat pun dah tak sanggup melihat Chong Wei ‘menanggung’ beban seorang diri.

Persoalan paling utama sekarang, apakah kita akan ada pengganti persis Chong Wei lagi? Mahu tidak mahu, peminat sukan badminton tanah air perlu berpijak di bumi nyata.

Tetapi Mat ada terbaca BAM akan membentuk satu lagi projek khas bertujuan melahirkan lebih ramai pemain pelapis cemerlang dalam tempoh lebih singkat seperti yang diperkatakan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Mat tak sabar nak lihat hasilnya. Kita sama-sama nantikan.