Meskipun sedang bergelut dengan prestasi tidak menentu termasuk gagal menampilkan aksi meyakinkan dalam kejohanan bertaraf antarabangsa, pemain berusia 22 tahun itu percaya dia mampu merealisasikan impian itu.

Dia mengakui prestasi ku­rang konsisten selain kurang ­ke­yaki­nan semasa di ge­langgang sering menjadi ma­salah utama dirinya setiap kali beraksi di pe­ringkat antarabangsa.

“Saya percaya mampu mencipta kejayaan di sini tetapi saya perlu beri tum­puan satu demi satu perlawanan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini.

Chi Wing mula menjadi tumpuan selepas muncul juara kebangsaan bermula 2016 dan dilihat sebagai prospek berharga skuad badminton kebangsaan.

Bagaimanapun, prestasi­nya ­di peringkat antarabangsa ku­rang menyerlah apabila sering kecundang seawal pusingan pertama, dan paling menyedihkan apabila terkandas seawal pusingan kelayakan pertama dalam Malaysia Masters yang berlangsung di Axiata Arena, di sini bulan lalu.

Lantaran prestasi kurang meyakinkan itu, Chi Wing se­ring terlepas peluang untuk disenaraikan ke dalam skuad kebangsaan bagi menggalas misi penting termasuk untuk Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, awal bulan ini.

Pemain yang kini berada di tempat ke-90 ranking dunia itu bagaimanapun berazam untuk mencipta impak besar bagi mengembalikan nama­nya sebagai antara perseora­ngan lelaki terbaik negara.