Timbalannya, Steven Sim Chee Keong berkata, KBS juga akan bertemu dengan pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas bagi memastikan situasi menang-menang dapat diwujudkan.

“Hari ini saya telah bertemu dengan pemain badminton beregu negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying bagi hala tuju mereka setelah kedua-duanya membuat keputusan untuk menjadi pemain profesional baru-baru ini.

“Kedua-duanya menyatakan komitmen untuk terus berusaha keras demi memburu pingat bagi negara terutamanya di Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

“Oleh itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk BAM (Persatuan Badminton Malaysia) bagi memastikan pembangunan dan perkembangan pemain bebas seperti mereka berdua tidak akan terbantut.

“Dalam masa terdekat, saya juga akan bertemu dengan pihak berkepentingan ini untuk mendapatkan maklum balas bagi memastikan satu situasi menang-menang diwujudkan demi memacu prestasi sukan badminton negara ke arah yang lebih baik,” kata Steven dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada selasa lalu, pemenang perak Olimpik, Peng Soon-Liu Ying secara rasmi keluar ­meninggalkan BAM.