Paul Erik Hoyer Larsen

Perubahan status kejohanan itu diumumkan selepas Mesyuarat Ahli Majlis BWF di ibu negara hari ini dengan kejohanan peng­hujung musim yang sebelum ini dikenali sebagai Siri Super Akhir menjadi kejohanan tahap pertama dengan hadiah wang tunai yang disediakan berjumlah AS$1.5 juta (RM6.66 juta).

China, England dan Indonesia akan menjadi negara yang me­nganjurkan kejohanan berkelas Grand Slam tahap kedua dengan tawaran hadiah sebanyak AS$1 juta (RM4.44 juta).

Lima lagi kejohanan yang bertaraf Siri Super dan Siri Super Premier di Malaysia, China, Denmark, Perancis dan Jepun pula diletakkan dalam kelompok tahap ketiga dengan tawaran hadiah sebanyak AS$700,000 (RM3.1 juta).

Tujuh negara akan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS$350,000 (RM1.55 juta) bagi penganjuran tahap empat iaitu Hong Kong, India, Indonesia, Korea Selatan, Malaysia Singa­pura dan Thailand.

Australia, Taiwan, Jerman, India, Korea Selatan, Macau, New Zealand, Sepanyol, Switzerland, Thailand dan Amerika Syarikat diberikan hak untuk menganjurkan kejohanan tahap lima de­ngan tawaran hadiah sebanyak AS$150,000 (RM665,625).

Presiden BWF, Paul Erik Hoyer Larsen (gambar) berkata ha­diah kemenangan akan meningkat setiap dua tahun menerusi sistem baharu yang diper­kenalkan itu dan pihaknya akan memilih negara yang bersesuaian untuk menganjurkan kejohanan akhir pada setiap penghujung musim.

“Kejohanan kami sentiasa menunjukkan peningkatan ke­belakangan ini, kami sentiasa menilai perkembangan semasa dan mencari jalan terbaik untuk menambah baik setiap kejohanan,” katanya.