Kejayaan menewaskan beberapa nama besar dalam kejohanan badminton tertua di dunia itu memberikan pengalaman terbaik buat Aaron, 22, dan Wooi Yik, 21, untuk mengukuhkan kedudukan, terutama dalam pemburuan tiket ke Olimpik.

Menurut ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman, pasangan No. 18 dunia itu mempu­nyai segala ramuan yang diperlukan untuk menampilkan lebih banyak kejutan pada masa akan datang, apatah lagi usia mereka masih muda dan boleh dibentuk.

“Mereka menampilkan ba­nyak kejutan di England termasuk menundukkan juara dunia, selain beberapa pasangan yang berada dalam kelompok 10 terbaik.

“Mereka ini masih muda, saya percaya mereka akan terus me­nunjukkan peningkatan selepas ini,” katanya.

Dalam final All England ke­l­marin, pasangan muda negara itu tewas 21-11, 14-21, 12-21 kepada juara dunia dua kali, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia.

Kekalahan itu memanjangkan penantian Malaysia untuk me­rangkul kejuaraan beregu lelaki yang kali terakhir dimenangi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.

Dalam laluan ke pentas akhir, Aaron-Wooi Yik menundukkan beberapa nama besar seperti juara dunia 2017, Liu Cheng-Zhang Nan dari China, pasangan No. 6 dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen serta naib juara Sukan Asia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.

Aaron-Wooi Yik yang mula bergandingan sejak 2017 dilihat mampu mengatasi pasangan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, selain mampu memberi saingan kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bagi memburu slot ke Tokyo 2020 sepanjang kempen kelayakan yang akan bermula Mei ini.

Berdasarkan peraturan yang ditetapkan, hanya 16 pasangan terbaik dunia akan diberi slot ke Tokyo 2020 dengan dua beregu dibenarkan mewakili setiap negara yang berada dalam ranking lapan terbaik dunia.