“Buat masa sekarang saya tidak mahu tahu siapa yang patut dipersalahkan kerana menuding jari ke arah mana-mana pihak tidak menyelesaikan masalah.

“Lebih baik sekiranya pihak yang berkenaan diberi masa untuk mengumpul segala maklumat bagi menghadapi proses perbicaraan tanpa sebarang gangguan,” kata Khairy ketika diajukan pertanyaan mengenai perkembangan terbaru kes doping pemain perseorangan utama negara itu.

Menurut beliau, adalah lebih baik sekiranya semua pihak yang terlibat diberi ruang untuk menjalankan tanggungjawab bagi melaksanakan siasatan secara terperin­ci memandangkan perbicaraan kes tersebut bakal diumumkan oleh Persatuan Badminton Dunia (BWF) dalam masa terdekat ini.

Jelasnya, sudah terlalu banyak maklumat didedahkan kepada pihak media dan kerahsiaan terhadap bukti-bukti penting perlu dipelihara agar proses perbicaraan tidak akan terjejas kelak.

“Sekarang saya memerlukan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat bagi menyelesaikan isu ini. Kalau saya dedahkan beberapa maklumat yang tidak sepatutnya, saya bimbang kita sukar untuk mendapatkan kerjasama baik daripada pihak tertentu yang mungkin boleh membantu kes ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum bersama industri di Kementerian Belia dan Sukan, di sini semalam.

Kelmarin, BAM mendedahkan pihaknya kini sedang mengumpul segala bahan bukti, termasuk hasil ujian doping ke atas sampel ketiga bagi membantu menyelesaikan segera kes yang melibatkan Chong Wei.

Jaguh badminton negara itu dikaitkan dengan kegagalan menjalani ujian doping selepas terdapat dexamethasone di dalam kandung­an air kencingnya dan kelmarin, Khairy mendedahkan atlet tersebut menerima rawatan daripada sebuah klinik swasta dan bukan dari Institut Sukan Negara (ISN).

“Laporan kesihatan dia sudah pun dikeluarkan oleh klinik tersebut, bagaimanapun saya tidak mahu mendedahkan nama klinik berke­naan kerana khuatir proses untuk mengumpul data akan terganggu,” kata Khairy lagi.

Dalam perkembangan lain, Khairy melahirkan keyakinan terhadap pemilihan syarikat Human Voyage (M) Sdn. Bhd. sebagai penganjur baharu Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015.

“Saya yakin dengan pemilihan mereka kerana syarikat itu pernah menganjurkan Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) dan berbekalkan pengalaman tersebut mereka mampu melakukannya.

“Langkah penjimatan menjadi keutamaan. Kita labur duit yang banyak untuk anjur kejohanan tersebut, namun tidak ramai atlet pelapis yang dapat dilahirkan. Lebih baik duit itu digunakan untuk pembangunan sukan negara,” tambahnya.