Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, Chong Wei begitu bersemangat untuk pulang ke tanah air.

“Namun, kita nasihatkannya agar berehat seketika. Apabila beliau benar-benar bersedia, barulah pulang ke sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang ke Sukan Olimpik Belia 2018 di Buenos Aires, Argentina, malam ini.

Chong Wei dikesan menghidap barah hidung peringkat awal dan kini sedang menerima rawatan di Taiwan.

Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, rawatan dijalani Chong Wei sejak dua bulan lepas menunjukkan perkembangan positif.

Beliau, bagaimanapun berkata pihaknya menghormati keputusan keluarga Chong Wei yang mahukan privasi berhubung masalah kesihatan jaguh perseorangan negara itu.

“Perhubungan kita rapat, sentiasa bercakap dan saya pun tidak mahu kita semua mengganggu beliau. Tunggu masa yang sesuai untuk melawatnya.

“Apa yang perlu, kita sebagai rakyat Malaysia doakan beliau supaya kembali pulih dan kita juga bagi privasi seperti diminta. Saya yakin serta percaya dengan cara tersebut beliau boleh pulih dengan cepat,” katanya. - BERNAMA