BAM dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan pasangan No. 14 dunia itu akan meninggalkan skuad kebangsaan berkuat kuasa 5 Januari ini.

Bekas beregu No. 1 dunia itu mengikut jejak Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang terlebih dulu mengorak langkah, tahun lalu.

Keputusan itu bagaimanapun bukan sesuatu yang mengejutkan kerana mereka gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak kali terakhir merangkul pingat perak Sukan O­limpik 2016 dan Final Siri Super di Dubai pada 2016.

Kemerosotan ­pres­tasi itu menyaksikan mereka sering diberi amaran oleh BAM, terutama selepas kerap tersingkir pada pusingan awal kejohanan yang disertai.

Kata V Shem, mereka lega dengan keputusan yang diambil dan tetap akan mewakili Malaysia dalam setiap kejohanan biarpun bukan lagi di bawah bumbung BAM.

“Apa pun kami perlu segera mencari penaja untuk ­membolehkan kami mencapai cita-cita layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kami juga masih belum mempunyai jurulatih tetapi akan selesaikan perkara ini segera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Keputusan itu bagai­mana­pun tidak menjejaskan pe­rancangan jangka pendek mereka untuk beraksi dalam tiga kejohanan pertama awal tahun ini iaitu Thailand Masters, Malaysia Masters dan Indonesia Masters.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza mengakui tindakan V Shem-Wee Kiong dibuat kerana mereka mahu mencari jalan sendiri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sama seperti pemain lain, pasangan tersebut juga bebas membuat keputusan mereka dan BAM sebagai badan induk badminton negara memberi kebenaran.

“Mereka keluar BAM kerana mahu cari jalan sendiri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan kami melihat keputusan itu sebagai persaingan sihat di antara pemain BAM dan pemain bebas.

“BAM sama dengan keputusan sebelum ini, akan terus de­ngan usaha meremajakan skuad kebangsaan,” katanya.