Isnin ini, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu akan berlatih di gelanggang buat kali pertama, dan Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara dijangka sesak dengan media yang mahu melihat perkembangannya.

Situasi itu membuatkan Chong Wei bimbang jika mereka meletakkan pengharapan terlalu tinggi, sedangkan dia sendiri belum pasti sejauh mana mampu meneruskan karier biarpun hatinya kuat mahu kembali ke pentas kompetitif secepat mungkin.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mengambil berat tentang keadaan saya dan memang semalam saya ada ke akademi (gimnasium) tetapi bukan untuk berlatih, hanya ambil mood dan buat latihan ringan.

“Isnin ini saya akan jalani latihan di gelanggang tetapi bukanlah latihan penuh. Mana boleh saya terus berlatih penuh, harap semua bertenang, kena buat perlahan-lahan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sebelum ini, Chong Wei mendapat liputan meluas media termasuk dari luar negara semasa membuat sidang akhbar pertama selepas menjalani rawatan kanser hidung di Taiwan.

Kata pemain berusia 37 tahun itu, dia memerlukan masa untuk kembali menyesuaikan diri kerana sudah lama tidak menjalani latihan di gelanggang selain tidak pasti dengan keadaan fizikal semasanya.

Chong Wei disahkan menghidap kanser hidung tahap awal pada November lalu menyebabkan dia terpaksa menjalani rawatan tiga bulan di Taiwan.

Dia yang sudah disahkan bebas daripada penyakit tersebut mengharapkan untuk kembali secara kompetitif dalam kejohanan All England yang bermula pada 6 Mac ini.