Nasihat itu dilontarkan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang memberi bayangan bahawa mereka bakal menjalani latihan ‘berat’ di bawah individu yang bertanggungjawab menjadikan dirinya sebagai antara pemain handalan dunia.

Katanya, kebanyakan pemain muda di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak pernah tahu atau merasai kesukaran yang dilalui selama ini semasa di bawah kendalian legenda badminton negara itu.

“Saya rasa mereka semua tidak tahu macam mana rasanya berlatih di bawah jurulatih saya (Misbun), sekarang ini mereka semua akan tahu.

“Masa saya susah dahulu semua tidak tahu apa yang saya lalui dan kini mereka cuma nampak kesenangan saya sahaja, masuk kejohanan boleh menang tetapi kesukaran sebelum itu mereka tidak tahu.

“Nasihat saya kepada mereka... semua kena bersedia kerana Misbun akan balik,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Misbun akan kembali membimbing skuad kebangsaan bermula bulan hadapan dan akan dibantu Hendrawan, Indra Wijaya serta Sairul Amar Ayob menerusi struktur kejurulatihan terbaharu yang dirangka BAM.

Misbun merupakan individu yang bertanggungjawab membantu Chong Wei memenangi pingat perak pertamanya dalam Sukan Olimpik iaitu di Beijing pada 2008.

Akibat perselisihan pendapat yang berlaku sebelum ini, Misbun pernah meninggalkan BAM pada 2011 selepas sembilan tahun berkhidmat bersama badan induk itu sejak 2002.

Sementara itu, Chong Wei mengakui bukan mudah untuk memujuk Misbun kembali menyertai BAM dan pelbagai usaha dilakukannya bagi menarik semula legenda badminton negara itu kembali ke pangkuan badan induk itu.

Katanya, terdapat perselisihan pendapat yang membuatkan Misbun meninggalkan BAM sebelum ini dan dia telah meminta jurulatih berusia 57 tahun itu untuk melupakan kisah silam.

“Memang bukan mudah nak pujuk dia kembali tetapi saya dengan dia sudah macam anak dengan bapa, jadi selepas tiga kali saya berjumpa dengannya baru dia bersetuju untuk menyertai BAM semula.

“Saya ada beritahu Presiden (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) bahawa perkara ini bukan mudah tetapi akhirnya kami berjaya,” katanya.