Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, KBS sedang melakukan projek perintis dengan 10 syarikat swasta untuk menawarkan perkerjaan kepada atlet negara di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).

“Syarikat swasta terpilih itu adalah organisasi besar contohnya dalam bidang perbankan, teknologi maklumat dan automotif. Tempoh masa berkerja mereka mungkin dari 10 hingga 15 jam. Namun butiran lanjut mengenai masa, elaun atau gaji kepada atlet masih diperhalusi.

“Contohnya dalam sukan badminton, kebanyakan mereka menjalani latihan tiga sehinga enam jam sehari, maksudnya selepas latihan mereka mmempunyai masa dan boleh berkerja,” katanya kepada pemberita selepas meninjau latihan atlet badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini, hari ini.

Steven berkata, kementerian sangat prihatin dengan masa depan atlet negara agar kehidupan mereka selepas bersara masih terjamin.

“Kita tidak mahu atlet berada dalam dilema. Apabila turun di lapangan menjalani latihan atau menyertai kejohanan, tidak timbul kerisauan mereka mengenai nasib mereka selepas bersara nanti. Kerajaan sedang membantu para atlet dan perkembangan mereka, bukan meraih pingat emas semata-mata,” katanya.

Katanya lagi, menerusi MSN juga, inisiatif perlindungan kesihatan diperluaskan kepada atlet dan bekas atlet.

“Antara perbelanjaan terbesar Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) adalah perbelanjaan perubatan. Apabila perlindungan kesihatan diperluaskan, insiatif ini akan membantu mengurangkan (perbelanjaan) YAKEB,” katanya. - BERNAMA