Anak kedua daripada empat beradik itu mula meminati sukan badminton seawal usia empat tahun dan bakat pemain kelahiran Terengganu tersebut mula terserlah seawal usia lapan tahun apabila dipilih mewakili Sekolah Kebangsaan Seri Geliga, Kemaman.

Berikutan kecemerlangan beraksi di peringkat sekolah, Wan Arif mula diserap menyertai Terengganu pada kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan 2012 yang merupakan pendedahan

WAN MUHAMMAD ARIF
WAN MUHAMMAD ARIF 

pertama buat anak muda itu di peringkat kebangsaan.

Kejayaan sulung Wan Arif dicatat menerusi acara beregu lelaki dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2014 setelah memenangi pingat perak.

Bakat Wan Arif mula mendapat perhatian Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) apabila dia ditawarkan menyambung pelajaran di sekolah berkenaan pada 2018.

Berada di bawah sekolah sukan, perjalanan karier Wan Arif lebih teratur apabila dipilih mewakili SSBJ pada Kejohanan Remaja Antarabangsa 2018 dan berjaya meraih tempat ketiga dalam acara beregu lelaki dan campuran.

Wan Arif mengakui pemain beregu Korea Selatan, Lee Yong-dae yang juga bekas pemain nombor satu dunia sebagai idolanya dan mahu menjadi seperti bintang kesayangannya itu.

Yong-dae berjaya menduduki ranking No. 1 dunia bersama empat pasangan berbeza iaitu Jung Jae-sung, Ko Sung-hyun dan Yoo Yeon-seong dalam saingan beregu lelaki serta Lee Hyo-jung menerusi beregu campuran.

“Saya menjadikan Lee Yong-dae sebagai idola saya dan mahu menjadi sepertinya. Dia berjaya meraih kedudukan nombor satu dunia bersama empat pasangan berbeza. Ini menunjukkan dia seorang pemain yang sangat bagus dan berbakat.

“Impian sudah pasti mahu menjadi pemain No.1 dunia dan saya tahu untuk mencapainya memerlukan usaha, disiplin tinggi dan bekerja keras. Bukan mudah tetapi tidak mustahil,” katanya.

Pemain remaja itu dilihat berada di landasan terbaik untuk muncul bintang muda yang mampu menyinar dalam arena badminton negara, seandainya diberikan lebih banyak pendedahan di peringkat antarabangsa, selain daripada perwatakan Wan Arif sendiri.

Wan Arif yang berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilihat mampu melangkah jauh seandainya diberi lebih banyak perhatian oleh badan induk tersebut.

Dia menutup tirai 2018 dengan meraih pingat perak dalam acara beregu lelaki Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) pada Julai 2018. Anak muda itu turut menerima Anugerah Khas Individu dan Pasukan pada Majlis Anugerah Gemilang SSBJ 2018.