Mereka juga berjaya bangkit daripada prestasi tidak menentu sejak kebelakangan ini dan sekali gus memberikan kelegaan buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang meletakkan mereka sebagai sandaran utama pingat emas di temasya dwitahunan itu.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria nyata gembira dengan kejayaan yang diraih pasangan utama negara itu dan mereka menunjukkan kemampuan untuk bergelar juara selepas berdepan situasi tidak menentu sejak awal tahun ini.

Katanya, BAM sememangnya bimbang dengan penurunan prestasi yang ditampilkan sebelum ini tetapi beberapa keputusan drastik yang dilakukan untuk memulihkan semula kedudukan mereka jelas memberikan hasil positif.

Beliau memberitahu, semangat yang ditampilkan pasangan itu semasa beraksi di New Zealand adalah luar biasa terutama ketika beraksi di separuh akhir menentang Greysia Polii-Apriyani Rahayu dan final menentang pilihan keempat dari Jepun, Ayako Sakuramoto-Yukiko Takahata.

“Sebelum ini saya sentiasa mengingatkan pemain yang beraksi di Sukan Olimpik Rio de Jeneiro bahawa mereka perlu mengekalkan prestasi terbaik sepanjang masa untuk dijadikan contoh kepada pemain-pemain muda dan apabila berlakunya penurunan prestasi seperti sebelum ini, jelas membimbangkan kami.

“Bagaimanapun, keputusan untuk merehatkan Vivian dan Khe Wei daripada menyertai sebarang kejohanan termasuk Terbuka Australia bagi membolehkan mereka fokus kepada latihan fizikal serta mental jelas membuahkan hasil positif.

“Kejayaan ini jelas akan menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk meneruskan misi yang lebih penting iaitu mempertahankan pi­ngat emas di Sukan SEA yang dimenangi (Amelia Alicia) Anscelly-(Soong) Fie Cho di Singapura,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kejayaan Vivian-Khe Wei di Terbuka New Zealand itu merupakan yang pertama buat pasangan itu selepas kali terakhir muncul juara pada 2011 di Indonesia Masters.

Sementara itu, Mohamad Norza juga percaya pasangan beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mampu melakar kejutan di temasya dwitahunan itu meskipun gagal merangkul kejuaraan di Terbuka New Zealand selepas tunduk di pentas final kepada pilihan utama dari Taiwan, Chen Hung Ling-Wang Chi-Lin.

Katanya, pasangan muda negara itu berada di landasan terbaik ketika ini untuk menempatkan diri mereka dalam kelompok 10 pasangan terbaik dunia.