Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, bermula tahun depan, BWF menetapkan pusingan kelayakan tidak akan diguna dalam kejohanan Tahap 2 dan 3 (Siri Super Premier serta Siri Super), sekali gus menyukarkan peluang kedua-dua pemain itu untuk beraksi memandangkan ranking mereka bersama gandingan baharu masing-masing agak rendah.

V Shem sebelum ini digandingkan dengan Teo Ee Yi, manakala Wee Kiong bersama Ong Yew Sin. Bagaimanapun Ee Yi kini akan kembali bergabung dengan Yew Sin demi menguatkan kombinasi mereka.

“V Shem-Wee Kiong dan Ee Yi-Yew Sin akan digandingkan semula dalam beberapa kejohanan selepas ini sebagai persediaan menghadapi Piala Thomas tahun hadapan kerana mereka masih di kedudukan yang baik dalam ranking dunia yang lama. Ini secara tidak langsung akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan baik untuk aksi kelayakan.

“Dalam beberapa bulan akan datang, gandingan lama ini akan menyertai kejohanan berbeza kerana BWF sudah menetapkan peraturan baharu bahawa tiada lagi pusingan kelayakan bagi kejohanan Tahap 2 dan 3.

“Jadi, Malaysia akan berdepan risiko besar sekiranya meneruskan gandingan Wee Kiong-Yew Sin dan V Shem-Ee Yi kerana mereka berkemungkinan tidak layak beraksi dalam kejohanan Tahap 2 dan 3,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Badan induk badminton negara itu sebelum ini terpaksa memisahkan V Shem-Wee Kiong selepas gandingan itu menunjukkan penurunan prestasi yang drastik ekoran masalah komunikasi.

Tindakan tersebut menyaksikan V Shem digandingkan bersama Ee Yi, manakala Yew Sin bersama Wee Kiong dalam beberapa kejohanan sebelum ini, namun gagal menghasilkan sebarang keputusan positif.

Kelayakan Piala Thomas 2018 akan diadakan di Alor Setar pada 6 hingga 11 Februari, dan jika layak Malaysia akan beraksi dalam pusingan akhir di Bangkok dari 20–27 Mei. - UTUSAN ONLINE