Gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan akhir selepas mudah mengetepikan cabaran pasangan China, He Jiting-Tan Qiang 21-19, 21-11 dalam tempoh kurang 30 minit.

Kejayaan itu secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk menampilkan aksi luar biasa di temasya Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung di ibu negara kurang dua minggu lagi.

Meskipun tidak diletakkan sandaran untuk meraih pingat emas di temasya dwitahunan itu, namun kejayaan melangkah ke final sedikit sebanyak memberikan harapan untuk Malaysia melakar kejutan dalam acara badminton.

Ee Yi-Yew Sin akan berdepan cabaran pilihan utama dari Taiwan, Chen Hung Ling-Wang Chi-Lin yang turut mara selepas menundukkan Kenas Adi Haryanto-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-13, 21-15.

Sementara itu, pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei terpaksa bekerja keras hingga ke set penentuan untuk menundukkan pasangan Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu 21-18, 13-21, 21-13.

Vivian mengakui mereka sememangnya terdesak untuk mencari kejuaraan pertama musim ini selepas gagal menampilkan aksi kurang meyakinkan sejak awal Januari lalu.

“Kami sememangnya inginkan kejuaraan ini kerana kejayaan ini akan membangkitkan keyakinan kami menjelang aksi Sukan SEA 2017,” katanya yang diletakkan sandaran untuk meraih pingat emas di temasya Sukan SEA kali ini.

Vivian-Khe Wei akan berdepan tentangan pilihan keempat dari Jepun, Ayako Sakuramoto-Yukiko Takahata yang turut mara selepas menyingkirkan Xuanxuan Liu-Yuting Xia 23-21, 21-13.

“Ini merupakan kali pertama kami bertemu pasangan ini dan kami ada melihat aksi mereka ketika menentang pemain pelapis negara (Joyce Choong-Goh Yea Ching) di suku akhir. Kami akan lakukan sebaik mungkin untuk menang,” katanya.