TAN WEE KIONG (depan) dan Goh V Shem meraih pingat perak beregu
TAN WEE KIONG (depan) dan Goh V Shem akan bertemu Takuro Hoki-Yuko Kobayashi dari Jepun dalam pusingan pertama All England bulan hadapan.

Laluan mereka untuk mencapai sasaran itu bagaimanapun bukan mudah, dan Wee Kiong mengakui mereka perlu kekal fokus untuk mengelak daripada pulang awal.

Berdasarkan undian, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu akan bertemu pasangan muda Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di pusingan awal dan bakal menanti mereka di pusingan kedua ialah Liu Xiaolong-Xu Chen dari China.

“Kedua-dua pasangan ini menggunakan permainan pantas, jadi memang bukan mudah apabila bertemu mereka,” kata Wee Kiong ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Mengulas mengenai cabaran All England tahun ini, Wee Kiong mengakui keadaan agak tenang berbanding tahun lalu yang menyaksikan mereka berada dalam keadaan tertekan untuk mencari mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

“Tahun lalu memang agak terganggu kerana kami bukan sahaja menerima undian sukar tetapi perlu bersaing (dengan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong) untuk ke Sukan Olimpik.

“Tahun ini tidak begitu membebankan tetapi fokus kami tetap sama iaitu tumpukan kepada perlawanan demi perlawanan,” katanya.

All England merupakan kejohanan pertama mereka tahun ini selepas menarik diri daripada Grand Prix Emas Malaysia Masters akibat kecederaan bahu kanan dialami Wee Kiong.

Selain V Shem-Wee Kiong, bakal beraksi dalam kejohanan itu ialah gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.