Berdasarkan kepada kedudukan ranking semasa, gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menghuni tangga ke-21 manakala V Shem-Wee Kiong di kedudukan ke-24 dunia.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit berkata, kedudukan itu mungkin menjadi kelebihan buat Malaysia dalam meraih mata penting.

“Berdasarkan pengalaman, V Shem-Wee Kiong boleh berikan kelebihan buat negara tetapi semuanya bergantung kepada kedudukan ranking terbaharu nanti.

“Bagaimanapun, saya lebih fokus kepada prestasi semasa pemain berbanding ranking.

“Bagi saya, dalam acara berpasukan seperti ini semua ada peranan tersendiri dan semua mahu menyumbangkan mata dan kami di bahagian beregu juga mahu menyumbang dua mata penuh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini semalam.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu bagaimanapun gagal merangkul kejuaraan sulung mereka musim ini selepas tewas di pentas final Malaysia Masters kepada wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-14, 22-24, 13-21.

Bagaimanapun, Soon Kit tetap berpuas hati dengan prestasi semasa yang ditampilkan bekas pasangan No.1 dunia itu dan percaya mereka mampu mendapatkan keputusan lebih baik pada masa akan datang.

“Mereka saling memberikan sokongan di antara satu sama lain dan bekerja keras untuk kembali mencapai prestasi terbaik seperti ketika mereka memenangi perak Olimpik pada 2016,” katanya.-UTUSAN ONLINE