Pasangan yang membuat penampilan sulung di temasya berprestij bagi komuniti pekak sedunia itu, tewas kepada gandingan Rusia, Karpov-Soboleva dengan 15-21, 12-21 di Dewan Sukan Bafra di sini.

Jurulatih skuad badminton pekak negara, Daphne Ng Chiew Yen bagaimanapun memuji semangat juang Wei Ying-Francis Tan yang bertungkus-lumus dalam usaha meletakkan Malaysia ke dalam peta dunia.

“Dapat melangkah ke final bagi saya dah cukup baik. Bukan senang untuk bersaing di Deaflympics sebenarnya. Sebagai contoh, pasangan Rusia telah membuat persediaan setahun lebih awal selain berlatih dengan skuad kebangsaan (normal).

“Beregu campuran kita dibentuk pada awal Mei lalu dan berlatih dalam dua bulan lebih sahaja Mereka bukan pemain sepenuh masa, Wei Ying merupakan seorang pelajar univerisiti manakala Francis Tan telah bekerja. Jadi masa latihan amat terhad.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi mereka. Saya yakin kedua-duanya mempunyai masa depan yang cerah,” katanya kepada Utusan Malaysia sejurus tamat perlawanan di sini hari ini.

Kemenangan perak itu membolehkan Malaysia mengekalkan ‘tradisi’ tidak pulang dengan tangan kosong sepanjang lima kali menyertai Deaflympics.

Untuk rekod, Malaysia pernah meraih emas tunggal, dengan pencapaian terbaik terlakar di Deaflympics 2001 Rome, Itali menerusi Zana Azizul Ujang dalam acara 110 meter (m) lari berpagar.