Pengarah filem terbitan CJ Pictures Sdn. Bhd. itu, Teng Bee berkata, selepas mengadakan uji bakat di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang, pihaknya masih belum ‘menemukan’ Chong Wei.

“Secara keseluruhannya, seramai 2,000 orang hadir bagi sesi uji bakat yang kita lakukan di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang. Kita sudah menapis 100 orang, malah ada juga pemain badminton dari Taiwan, China, Singapura dan Hong Kong hadir mencuba nasib.

“Daripada jumlah itu, kita akan buat penilaian semula untuk mengambil pelakon yang bersesuaian, namun bagi watak Chong Wei, kita belum temui lagi.

“Pencarian untuk mendapatkan pelakon yang mampu membawa watak Chong Wei masih diteruskan.

“Kita mencari dua orang untuk watak Chong Wei iaitu ketika dia remaja dan berusia 30 tahun,” kata Teng Bee dalam sidang akhbar selepas majlis memorandum persefahaman (MoU) penajaan antara CJ Pictures dengan syarikat pengeluar biskut terkemuka Malaysia, Hwa Tai Industries Berhad, di sini hari ini.

Hwa Tai diwakili ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Airique Soo Chung Yee manakala Lee Chong Hoon yang juga abang kepada Chong Wei mewakili CJ Pictures.

Mengulas lanjut, Teng Bee berkata, pihaknya juga dalam proses ‘memujuk’ Chong Wei untuk membuat penampilan istimewa dalam filem yang bakal memulakan penggambaran pada sekitar Mei atau Jun ini.

“Disebabkan jadual padat Chong Wei yang perlu menjalani latihan setiap hari, mungkin sukar untuk dia berlakon. Namun, kami dalam usaha untuk memujuk dia membuat penampilan khas dalam filem ini, semuanya masih dalam perbincangan lagi,” katanya lagi.

Dijangka menemui penonton pada 2018, filem Menjulang Kejuaraan turut menyasarkan ta­yangan antarabangsa.

Dengan kos pembikinan dianggarkan bernilai RM6 juta, projek terbitan CB Pictures ini turut mendapat kerjasama daripada produksi Taiwan yang membolehkannya menembusi pasaran negara berkenaan.