Penyingkiran awal beregu lelaki negara itu pada Terbuka China dan Jepun, baru-baru ini amat mengecewakan BAM, apatah lagi mereka kalah kepada pasangan yang memiliki ranking lebih rendah.

“Saya selalu berbincang dengan pengerusi Jawatankuasa C&T (Kejurulatihan dan Latihan, Datuk Ng Chin Chai) dan saya beritahu, kami perlukan keputusan segera.

“Dalam kriteria diberikan kepada pasangan itu, mereka tidak boleh kalah kepada beregu ranking lebih rendah tiga kali berturut-turut. Bukan memberi tekanan tetapi mereka sudah ada dua bendera merah, ada satu lagi peluang atau berdepan tindakan (pembekuan),” tegasnya ketika menghadiri majlis pelancaran edisi kelima Purple League di sini, hari ini.

V Shem-Wee Kiong tewas 14-21, 17-21, 19-21 kepada Ricky Karandasuwardi-Angga Pratama dari Indonesia pada pusingan kedua Terbuka China minggu lalu, iaitu seminggu selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan India, B. Sumeeth Reddy-Manu Attri 21-15, 21-23 dan 19-21 di pusingan pertama Terbuka Jepun.

Dalam Sukan Asia di Indonesia, bekas pasangan No. 1 dunia itu tumpas kepada beregu tuan rumah, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon 20-22, 19-21 di suku akhir, sekali gus menyaksikan badminton pulang tanpa pingat buat kali pertama dalam tempoh 32 tahun. - UTUSAN ONLINE