Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai memberitahu, sebelum ini lapan pemain sudah dimasukkan ke dalam program latihan elit di bawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) itu semasa dilancarkan pada 2016.

Katanya, jumlah atlet daripada sukan badminton kemudiannya ditambah empat lagi menjadikan jumlah keseluruhan 12 atlet pada penghujung tahun lalu.

“Dua minggu lalu kami membuat pembentangan kepada panel Program Podium dan BAM menyenaraikan kira-kira 20 pemain yang berkelayakan untuk program elit itu.

“Kami percaya sekurang-kurangnya 12 pemain kami akan berada di dalam Program Podium itu berdasarkan kepada pencapaian tiga pingat perak dalam Sukan Olimpik selain beberapa kejohanan utama yang lain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Liga Badminton Remaja Kebangsaan Air Asia-BAM di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, di sini hari ini.

Ketika ini, panel penilai Program Podium sedang dalam proses memuktamadkan senarai atlet yang akan berada di dalam program elit seliaan ISN itu dan keputusan mengenainya akan dibuat pengarah program itu, Tim Newenham esok.

Sebanyak 117 atlet dipilih menyertai Program Podium tahun ini, berbanding 97 atlet tahun lepas, dengan matlamat untuk meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Sementara itu, Chin Chai memberitahu, BAM akan mula menyingkirkan pemain sebanyak dua kali iaitu pada Februari dan Ogos tahun hadapan untuk memberi peluang kepada pemain baharu yang lebih baik.

Katanya, BAM juga akan mengadakan sesi pemilihan pemain baharu yang bernaung di bawah persatuan badminton negeri berusia di antara 18-20 tahun Januari depan.

“Kami sentiasa berdepan tekanan untuk beraksi cemerlang di dalam setiap kejohanan tetapi ada pemain yang tidak mampu mencapai sasaran yang ditetapkan meskipun sudah lama bergelar pemain kebangsaan.

“Penilaian ke atas pemain dibuat setiap enam bulan sekali, jadi mereka yang tidak mencapai standard akan disingkirkan jadi tidak timbul di sini isu penilaian dibuat dalam tempoh singkat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pemangku Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur, Datuk Seri Jahaberdeen Mohd. Yunos memberitahu, seramai 250 pemain daripada 20 sekolah di sekitar negeri ini akan bersaing di dalam kejohanan yang menggunakan format Piala Thomas/Uber bermula esok hingga Ahad ini.

Katanya, program itu antara lain bertujuan mencari bakat-bakat baharu untuk diketengahkan bagi menyertai skuad kebangsaan pada masa akan datang. - UTUSAN ONLINE