Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, badminton menjadi acara yang sentiasa memberikan sumbangan positif kepada kontinjen Malaysia dalam Sukan Komanwel dan sudah menyumbangkan 27 pingat emas, 20 perak dan 17 gangsa sepanjang temasya itu diadakan.

Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti cabaran daripada negara-negara yang sedang membangun seperti India dan England namun kekal po­stif dengan sasaran yang ditetapkan sebelum ini.

“Sasaran kita masih kekal dengan tiga pingat emas dan kita tidak pernah berubah.

“Kami juga sudah bersedia dengan cabaran yang bakal diberikan daripada negara seperti India serta England dan kami juga melihat peluang Malaysia masih cerah untuk meraih pingat dalam cara berpasukan,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia, Huang Ying How di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Mohamad Norza juga memberi­tahu, senarai pemain yang akan beraksi dalam Sukan Komanwel juga sudah hampir dimuktamadkan kecuali melibatkan acara perseorangan wanita yang akan ditentukan ketua jurulatih Datuk Tey Seu Bock tidak lama lagi.