Sebaliknya, pendekatan yang digunakan dalam Piala Thomas apabila mereka menurunkan empat muka baharu - Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Teo Ee Yi serta Aaron Chiah akan menjadi permulaan kepada langkah lebih drastik yang bakal diambil badan badminton itu.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan, Malaysia perlu berani untuk mencuba pemain-pemain muda andai mahu bersaing dengan negara gergasi lain yang sudahpun menggunakan pendekatan itu sejak awal lagi.

“Kita tidak boleh macam dulu. Kita biarkan mereka (pemain muda) dalam BAM, simpan dua, tiga tahun dan tunggu masa sesuai untuk keluarkan mereka. Tidak ada perkara se­perti itu lagi.

“Kita kena ada gabungan pemain muda dan lama. Hendak kuatkan pemain, kita kena me­labur untuk pemain muda di bawah 21 atau 22 tahun. Tengok sahaja China, mereka sudah hantar pemain-pemain muda dalam Piala Uber.

“Mereka hanya bawa seorang pemain berpengalaman dalam perseorangan (Li Xuerui), yang lain semua berusia 21 atau 22 tahun. Kita juga kena melakukan perkara yang sama,” katanya.

Menurut Mohamad Norza lagi, beliau menerima tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan Malaysia mencapai sasaran separuh akhir (Piala Thomas) dan suku akhir (Piala Uber) kali ini.

Walau bagaimanapun selain daripada kegagalan itu, BAM melihat ada perkara positif yang menjanjikan masa depan lebih baik untuk pemain muda dengan aksi memberangsangkan ditunjukkan Zii Jia, Jun Hao, Aaron dan Eei Yi.

“Sebelum pergi ada yang mempertikaikan apabila kita menurunkan pemain muda yang sangat ramai, mereka ini membuktikan kita tidak menjadi mang­sa belasahan atau dibuli oleh negara kuat yang lain.

“Sekali pun kalah mereka memberi tentangan yang baik. Lee Zii Jia dan pemain-pemain lain menunjukkan karakter serta personaliti yang bagus. Sekarang terpulang kepada BAM dan jurulatih untuk membantu menaikkan mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Walaupun gembira dengan perkembangan pemain-pemain muda dalam Piala Thomas dan Uber kali ini, namun Mohamad Norza turut menghambur pujian kepada sumbangan besar yang diberikan bekas pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Chong Wei tidak kalah dalam semua empat perlawanan, malah menumpaskan pemain No. 1 dunia yang juga juara dunia Viktor Axelsen ketika Malaysia tewas 2-3 kepada Denmark dalam aksi ter­akhir Kumpulan D.

“Kita amat berterima kasih kepada Lee Chong Wei yang me­nyumbang dalam semua perlawanannya. Dia juga membuktikan pada usia 36 tahun, dia masih boleh memberi yang terbaik de­ngan menewaskan Axelsen serta pemain Indonesia (Anthony Gin­ting),” ujarnya lagi.

Mengenai prestasi beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tidak memberangsangkan, Mohamad Norza mengakui ramai yang meminta beliau supaya tidak lagi bergantung kepada pasangan yang sama, namun apa pun keputusan harus dibuat de­ngan berhati-hati dan mengambil kira persiapan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik, V Shem-Wee Kiong hanya mencatat kemenangan ke atas pasangan Rusia dan Algeria, tetapi gagal menyumbang mata apabila bertemu beregu lebih kuat dari Denmark dan Indonesia. – UTUSAN