Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun berkata, pihaknya menerusi Setiausaha Agung, Ng Chin Chai dan Pengurus Besar, Michelle Chai telah menghantar protes kepada BWF bagi memohon wakil pemerhati itu dibenarkan masuk semula ke dalam sesi pendengaran tersebut.

”Kami berasa sedih dan terperanjat kerana hari ini pengerusi panel sesi pendengaran telah memberikan arahan supaya BAM tidak lagi menjadi pemerhati kerana mereka beranggapan kami telah memberi maklumat kepada media tentang prosiding tersebut.

“Saya rasa kami telah membuat satu perkara ‘interest of the public’ terutamanya kepada peminat sukan badminton yang ingin mengetahui sebelum ada spekulasi liar yang tidak membantu semua pihak.

“Saya berharap kami akan dapat jawapan itu secepat mungkin kerana kita berasa bahawa kami yakin dan boleh membantu BWF dalam memberi persepsi betul kepada masyarakat kerana ia berlaku kepada pemain Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis Perhimpunan Atlet Negara 2018 di sini hari ini.

Jadadish, yang juga anggota majlis BAM, adalah anggota utama jawatankuasa peraturan, disiplin dan integriti badan induk kebangsaan itu.

Mengulas lanjut, Norza memberitahu Jadadish Chandra sehingga tengah hari tadi masih tidak dibenarkan masuk untuk hari kedua sesi pendengaran yang bermula pada pukul 10 pagi.

Dua pemain badminton Malaysia, Zulfadli Zulkiffli, 25, dan Tan Chun Seang, 31, masing-masing menghadapi enam pertuduhan mengatur perlawanan, di mana kebanyakannya dilakukan pada 2013 dalam sesi pendengaran yang bermula semalam.- UTUSAN ONLINE