Keyakinan itu disuarakan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang percaya sasaran itu realistik dan boleh dicapai.

Katanya, empat pingat itu disasarkan menerusi acara berpasukan campuran, perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran.

“Pada mulanya sasaran kami ialah tiga pingat emas tetapi saya mahu ubah kepada empat pingat emas.

“Kesemua acara ini mampu menyumbangkan pingat emas kepada Malaysia tetapi kami tidak mahu meletakkan tekanan kepada Datuk Lee Chong Wei dalam temasya ini,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan BAM bersama Senheng di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Dalam majlis itu Senheng akan menyediakan produk berupa barangan elektrik untuk kegunaan kejohanan badminton utama di negara ini termasuk Malaysia Masters dan Terbuka Malaysia selain membekalkan produk untuk digunakan di akademi.

Perjanjian sehingga 2019 itu merangkumi pelbagai barangan termasuk televisyen, komputer riba selain menjadi penaja bersama untuk dua kejohanan utama itu.

Sementara itu, pengurus pasukan badminton ke Sukan Komanwel, Mohd. Taupik Hussain berkata, sasaran empat pingat emas itu mampu dicapai meskipun menyedari bahawa skuad kebangsaan akan menerima cabaran besar.