Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berkata dari­pada jumlah itu hanya 18 pemain akan dipilih untuk menyertai tujuh acara yang dipertandingkan.

“Buat masa sekarang kami memiliki senarai panjang untuk pemain yang berpotensi mewakili negara ke Sukan SEA tetapi hanya 18 pemain sahaja akan dipilih.

“Tempoh pemilihan masih panjang kerana senarai pemain hanya akan ditentukan pada fasa terakhir yang akan bermula April ini,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan BAM akan memberikan pengecualian kepada pemenang pingat Sukan Olimpik Rio daripada bertanding dalam temasya dwitahunan itu untuk membolehkan mereka beraksi dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland.

Keputusan itu menyaksikan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) tidak akan beraksi dalam Sukan SEA 2017.

Selain mereka, barisan pemain yang berada dalam kelompok lapan terbaik dunia akan turut diberi kebenaran beraksi dalam Kejohanan Dunia.