Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Nor­za Zakaria berkata, pihaknya menerima surat permohonan bantuan daripada bekas juara remaja du­nia itu hari ini, dan ia telah diserah kepada Pengurus Besar, Michelle Chai dan Setiausaha Agung, Datuk Ng Chin Chai untuk tindakan lanjut.

Kata Mohamad Norza, pihak­nya tidak boleh terburu-buru dalam isu ini dan perlu mene­liti kes Zulfadli menerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Disiplin sebelum membuat keputusan.

“Semalam dia (Zulfadli) ada hubungi saya untuk mendapatkan bantuan daripada BAM dan hari ini kami telah menerima surat daripada pihaknya.

“Antara bantuan yang diperlukan ialah melibatkan denda yang perlu dibayar serta rayuan berhubung hukuman dikenakan oleh pihak BWF (Persekutuan Badminton Dunia) terhadap Zulfadli.

“Kita akan cuba bantu apa yang boleh, namun semuanya harus dinilai dan perlu mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Undang-undang dan Disiplin BAM sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam sidang akhbar Jumaat lalu, Zulfadli mene­gaskan tidak terlibat dengan aktiviti mengatur perlawanan, sebaliknya menjadi mangsa penindasan BWF selepas digantung 20 tahun daripada sebarang aktiviti badminton.

Pemain itu mendakwa, dia dijatuhi hukuman hanya berdasarkan kepada mesej yang diambil daripada aplikasi WhatsApp tanpa sebarang bukti kukuh lain, termasuk perlawanan manakah yang dikaitkan de­ngan dirinya.

Tambah Zulfadli, dia bagaikan terperangkap ketika sesi pende­ngaran di Singapura pada 26 dan 27 Februari lalu kerana perbicaraan dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, bagi mencabar keputusan BWF, Zulfadli harus menyediakan RM100,000 untuk memulakan rayuan.