Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, kedua-dua pasangan itu sudah memberikan sumbangan besar kepada negara terutama ketika meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016, tetapi, pada masa sama menegaskan mereka perlu faham dengan polisi badan induk badminton negara itu.

Beliau memberitahu, sebelum meninggalkan BAM, mereka sudah diberikan penerangan jelas mengenai kedudukan selepas bergelar pemain bebas dan atas persetujuan bersama pemain terbabit dilepaskan untuk membolehkan mengejar impian layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tanpa sebarang tekanan.

“Mereka bersetuju untuk bergerak sebagai pemain bebas selepas lebih 15 tahun bersama BAM dan kami memberi ‘restu’ kepada mereka untuk meneruskan impian. Apabila mereka keluar menjadi pemain bebas, mereka akan dilayan sebagai pemain bebas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat laporan menyatakan Peng Soon-Liu Ying berharap BAM memberikan peluang kepada mereka untuk menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia selepas menjadi pemain bebas.