Mohamad Norza berkata Chong Wei mempunyai jadual tersendiri berpandukan kepada kejohanan-kejohanan pilihan yang ingin dia sertai dan BAM sendiri telah bersetuju terhadap perkara berkenaan.

“Chong Wei beritahu memang dia nak berehat tetapi berehat dari segi kejohanan-kejohanan penting namun kejohanan sedia ada seperti Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Sukan Asia itu memang kita sudah cadangkan beliau untuk mengetuainya.

“Saya menghormati keinginan Chong Wei untuk berehat selepas pusingan akhir siri super di Dubai kerana ingin meluangkan masa bersama keluarga,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Liga Badminton Remaja AirAsia-BAM peringkat negeri Selangor di sini, hari ini.

Chong Wei yang menamatkan penantian selama lapan bulan tanpa gelaran juara dengan memenangi Terbuka Hong Kong minggu lepas, mengambil keputusan untuk berehat panjang bagi meluangkan masa bersama keluarga sebelum fokus dengan kejohanan besar pada tahun depan iaitu Seluruh England pada Mac.

Sementara itu, Mohamad Norza menjelaskan BAM akan menampilkan skuad terbaik bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Thomas yang bermula pada Februari depan di Alor Setar, Kedah.

“Saya menjangkakan Chong Wei akan mengetuai pasukan bagi menghadapi pusingan kelayakan dan pusingan akhir Piala Thomas manakala senarai pemain yang lengkap akan diketahui Januari nanti,” katanya.

Pusingan akhir Piala Thomas dijadual berlangsung pada 20 hingga 27 Mei 2018 di Bangkok, Thailand. – BERNAMA