Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, tidak adil jika BAM mendesak dengan menetapkan jangka masa tertentu untuk pemain itu kembali berlatih sedangkan keadaan mental dan fizikalnya belum bersedia untuk berbuat demikian.

"Status terkini setakat hari ini, dia tidak akan kembali ke BAM untuk sementara dan ini kehendaknya sendiri yang perlukan lebih masa bagi persiapkan diri sebelum kembali cergas dan bersedia secara mental. Kami di BAM merestuinya.

"Dia masih muda dan memerlukan sedikit masa, kami akan beri. Sekiranya kami meletakkan tempoh masa misalnya kami memberikan kata dua sekiranya dia tidak kembali dalam masa dua minggu, dia akan gagal selamanya. Itu tidak adil buatnya.

"Tetapi saya juga berharap orang lain boleh adil kepada BAM kerana kami (BAM) di sini untuk berkhidmat kepada semua orang tetapi kami tidak boleh terus menyimpan harapan kami kepada mana-mana individu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa untuk sukan badminton di sini, hari ini.

Menurut Choong Hann, BAM telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu mana-mana pemain termasuk pemain kelahiran Melaka itu, namun, ia terserah kepada keputusan pemain berkenaan untuk memilih masa depan karier mereka dalam sukan badminton.

Pemain berusia 18 tahun itu sebelum ini dilaporkan tidak menghadirkan diri ke kem latihan BAM pada 7 Mei kerana belum bersedia sepenuhnya untuk berbuat demikian setelah berehat panjang selepas menjalani pembedahan hidung akibat sinus yang kronik.

Namun, Ee Wei hadir ke ABM pada 10 Mei, selepas menerima e-mel daripada badan induk itu yang memintanya melapor diri setelah gagal berbuat demikian sebelumnya. Berdasarkan e-mel itu, BAM tidak akan membenarkan pemain itu menyertai sebarang kejohanan antarabangsa sekiranya tidak melapor diri pada hari tersebut.

Untuk rekod, gandingan Ee Wei-Pearly Tan berjaya muncul naib juara Kejohanan Badminton Remaja Asia dan Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kanada, pada Julai dan November tahun lepas.

Rentetan kejayaan itu, mereka ditawarkan tempat dalam kem senior, namun, Ee Wei terpaksa menarik diri selepas menjalani pembedahan hidung kerana sinus kronik pada Disember lepas dan memerlukan rehat panjang. - BERNAMA