MOHAMAD NORZA ZAKARIA
MOHAMAD NORZA ZAKARIA

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, ujian kecergasan terhadap kesemua pemain akan mula dilaksanakan sepenuhnya pada Mac ini bagi melihat prestasi semasa mereka.

Katanya, kesemua pihak sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan mereka perlu akur dengan hukuman yang bakal dikenakan sekiranya gagal mencapai tahap yang ditetapkan.

“Mac ini kita akan membuat penilaian terhadap pemain dan mereka akan menjalani pelbagai ujian kecergasan termasuk Vo2Max.

“Sekiranya gagal melepasi tahap yang ditetapkan, mereka tidak akan dibenarkan menyertai sebarang kejohanan bermula April,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pemain akan digantung sebanyak tiga kejohanan sekiranya gagal melepasi ujian kecergasan yang akan dikendalikan bersama BAM dan Institut Sukan Negara (ISN).

Hukuman yang bakal dilaksanakan itu juga berkemungkinan besar akan memberi impak kepada barisan pemain negara yang berhasrat untuk mewa­kili Malaysia di Sukan SEA 2017 sekiranya gagal melepasi ujian yang ditetapkan.

Sementara itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Goh Liu Ying tidak akan menyertai sebarang kejohanan sehingga hujung bulan hadapan kerana perlu mendapatkan rawatan bagi kecederaan lutut yang dihadapinya.

Mohamad Norza berkata, pemain beregu campuran itu akan mengambil tiga suntikan bagi merawat kecederaan lututnya sebelum sambutan Tahun Baharu Cina pada hujung bulan ini.

“Buat masa sekarang dia tidak akan menyertai mana-mana kejohanan kerana kecederaan itu dan paling awal dia akan kembali adalah di (Grand Prix Emas) Terbuka Jerman,” katanya